Sunday, January 22, 2006

Hikmah Solat: Lazimkan beristikharah

Umat Islam digalakkan berfikiran terbuka dan pada masa sama digalakkan juga beristikharah.

Istikharah berasal daripada kata istakhara-yastakhiru yang bermakna memohon kebaikan daripada setiap urusan.

Dalam konteks hubungan manusia dengan Allah swt, istiharah bererti memohon kepadaNya agar setiap keputusan yang akan diambil benar-benar merupakan keputusan yang terbaik yang mengandung kemaslahatan, baik bagi diri sendiri mahupun orang lain.

Cakap mudahnya, istiharah adalah berlindung kepada Allah swt daripada keburukan setiap keputusan yang akan diambil.

Lazimnya selepas seorang Muslim menimbangkan pelbagai pilihan, dia akan memilih satu rumusan. Tetapi untuk mendapat kepastian, dia akan bersolat istikharah (dua rakaat), doa dan zikir sebagaimana ditunjuk ajar oleh Rasulullah saw. Tujuannya tidak lain hanya meminta petunjuk Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Hidup kian rumit dengan pelbagai dugaan sehingga tidak jelas apakah jalan keluar itu sebenarnya satu huraian atau lebih mengusutkan.

Ramai orang Islam yang kebingungan kerana mungkin kurang ilmu dan pengalaman atau tiada orang dapat menasihatinya.

Islam bererti juga pasrah. Jadi, istikharah dianggap satu proses pasrah untuk sentiasa meminta Allah swt akan petunjuk ke jalan lurus.


Istikharah bukan bererti kehilangan kebebasan berfikir dan bertindak, tetapi ia menunjukkan mutu keimanan seorang Muslim. Semakin sering ia beristikharah, semakin tinggi pula keyakinannya kepada pertolongan Allah swt.

Sayangnya, sikap takabur atau kesombongan manusia sering menjauhkan hatinya daripada mendapatkan petunjuk Ilahi.

Ingatlah manusia hanyalah makhluk daif yang terbatas kemampuannya untuk menilai dengan tepat.

Hati orang yang membiasakan istikharah akan senantiasa tenang dan terbuka menerima apa pun yang terjadi dengan redha.

No comments:

Custom Search