Bismillahir Rahmaa Nir Raheem
Setiap Muslim wajib yakin segala yang telah dijanjikan Allah SWT di dalam kitab-Nya Al Quran kerana semua kandungannya adalah benar belaka dan Allah tidak pernah mungkir janji. Demikian juga dengan janji Rasul-Nya kerana semua ucapannya tidak pernah berdasarkan hawa nafsu tetapi semua ucapannya adalah wahyu belaka.
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi orang yang bertaqwa.” (mafhum QS Al Baqarah (2): 2)
“Dan tidaklah yang diucapkannya itu (Al-Quran ) menurut kemahuan nafsunya, ucapannya itu tiada lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (mafhum QS Al Najm (53): 3 – 4)
Maka kenapa orang sakit selalu tidak sabar? Jawapannya ialah disebabkan pesakit itu kurang imannya. Kenapa imannya kurang? Kerana pesakit tidak meningkatkan ilmunya. Ilmu itu ada tiga :-
1. Ilmu tentang Allah
2. Ilmu tentang Nabi (Rasulullah saw)
3. Ilmu tentang Deen (agama)
Apabila sakit bermakna kita kena beriman dengan Taqdir Allah SWT (rukun Iman yang ke enam). Para sahabat Rasulullah saw apabila sakit mengucapkan Alhamdulillah bukan mengeluh kesah atau merungut dan sebagainya. Malahan para sahabat mengucapkan Alhamdulillah sebanyak 4 kali. Kenapa?
Sebab mereka ada ilmu di mana ucapan Alhamdulillah kerana :-1. tahu bahawa penyakit adalah penghapus kepada dosa-dosa kecil. Melupuskan dosa.2. tahu bahawa apabila Allah turunkan ujian bermakna Allah saying.3. tahu apabila sakit berpeluang untuk dapat pahala sabar jika sabar.4. tahu bahawa redha dengan musibah dunia contohnya dilahirkan cacat atau sumbing dan sebagainya dapat pahala. Tetapi sekiranya ditaqdirkan miskin walau usaha dan kemudian mencuri maka sudah mendapat musibah agama iaitu dapat dosa.
Sebab itu jadilah manusia yang berilmu. Usah putus asa cari ilmu. Kerana apabila berilmu maka manusia akan dapat membezakan antara yang betul dan yang salah. Contohnya nama jin yang taat dulu ialah Azazil. Tetapi bila disuruh tunduk pada Adam Azazil yang taat pada Allah SWT telah engkar dan sombong maka dilaknat Allah SWT. Maka Azazil menjadi Iblis yang maksudnya berputus asa dari Rahmat Allah. Iblis ini adalah ketua kepada syaitan dan mereka yang dipanggil mublisuun ialah mereka yang berputus asa dari Rahmat Allah. Namun iblis diizinkan untuk mendapat panjang umur hingga hari kiamat dan menggoda manusia.
Oleh itu jadilah manusia yang berjaya di dunia dan akhirat. Golongan yang berjaya ialah golongan yang tidak rugi. Ini bertepatan dengan maksud Surah Wal Asr yang mengatakan bahawa semua manusia dalam kerugian kecuali empat ini :-
1. orang beriman
2. orang yang beramal soleh
3. orang yang ingat mengingati pada kebenaran
4. orang yang ingat mengingati pada kesabaran
Jadi bila bersabar maksudnya:-
1. sabar dalam melaksanakan suruhan Allah
2. sabar dalam menjauhi larangan Allah
3. sabar terhadap cobaan yang telah ditaqdirkan oleh Allah
Sebagai wanita, kita hendaklah banyak bersabar terutama terhadap karenah suami. Asiah isteri Fir’aun adalah contoh yang amat baik dalam bab bersabar dengan sikap suami. Asiah yang sudah beriman kepada Allah sering berdoa agar dibina sebuah mahligai di dalam syurga untuk dirinya. Jadi apabila Fir’aun menyiksanya dengan mengikat dan dipukul dan disebat, Asiah tidak menangis malahan ketawa dan senyum silih berganti. Ini menghairankan Fir’aun. Rupanya Allah izin ketika Asiah di siksa Allah telah hamparkan mahligai di hadapan pandangan Asiah sebab itulah semakin disiksa semakin beliau ketawa dan senyum kerana Allah berjanji tempat yang lebih baik untuknya di akhirat kelak.
Sebab itu kita hendaklah sabar bila menghadapi ego suami. Asiah tidak menjerit meminta cerai dan sebagainya malahan bersabar kerana Allah tidak akan mungkir janji sekiranya kita beriman sepenohnya kepada-Nya.
Sebab itu apabila Rasulullah saw di angkat ke langit untuk melihat kerajaan langit Allah azza wajallah beliau telah bersabda sekembalinya dari Isra’ Mi’raj itu dengan kata-kata wasiat yang amat hebat sekali.
“Sekiranya kamu ketahui apa yang aku tahu sudah tentu kamu tidak akan banyak ketawa”. Kita semua tahu dan pernah baca apa yang dilihatnya sepanjang perjalanan Isra’ Mi’raj itukan. Sebab itu kita hendaklah batasi enjoy dan banyak ketawa. Bukan tidak boleh tetapi hendaklah berpada-pada dengan keikhlasan kita dalam bergembira. Janganlah sampai seronok sehingga langgar batas syarak dan sebagainya."
Marilah kembali kepada Al Quran yang ‘all in one’ – segala-galanya ada. Dan juga kita carilah ilmu Hadis dari Rasulullah saw agar kita tidak menjadi orang sesat tanpa ilmu. Sebab itu seringkali orang yang berpendidikan tinggi tetapi ilmu agama tidak mantap maka mereka boleh bercakap yang tidak sopan. Kerana akhlak itu ada kaitan dengan keimanan seseorang. Semakin tinggi akhlak maka semakin meningkatlah keimanan seseorang itu. Walau pun orang kafir itu nampak baik akhlaknya tetapi pada prinsipnya mereka adalah syirik kepada Allah SWT. Dan orang Islam walau tidak mantap imannya ada Tauhid kepada Allah.
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya” (mafhum QS At Talaaq (65): 2 – 3).
Apakah itu taqwa? Menurut Abdullah bin Abbas ra: Allah hendaklah ditaati, jangan Dia dimaksiati; Allah hendaklah diingati jangan Dia dilupai; Allah hendaklah disyukuri jangan Dia dikufuri.
Wassalamu’alaikum wrt wbt.
No comments:
Post a Comment